Rayuan Khairy ditolak, ganti rugi RM150,000 kepada Anwar kekal - Utusan Malaysia

Rayuan Khairy ditolak, ganti rugi RM150,000 kepada Anwar kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Khairy Jamaluddin untuk mengetepikan tuntutan saman dan ganti rugi RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah beliau dalam satu ceramah di Lembah Pantai, 14 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara menolak rayuan Menteri Kesihatan itu terhadap liabiliti dan jumlah ganti rugi selepas berpuas hati rayuannya tiada merit.

Bagaimanapun Khairy mempunyai satu lagi peluang di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan permohonan kebenaran merayu.

Hakim Darryl Goon ketika membacakan penghakiman itu berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membenarkan saman Anwar manakala jumlah ganti rugi yang diputuskan adalah tidak berlebih-lebihan.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut menolak rayuan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaan bagi memasukkan komen yang wajar dalam pembelaannya.

Hakim Darryl Goon berkata, panel itu tidak perlu campur tangan kerana hakim bicara tidak terkhilaf ketika menggunakan budi bicaranya menolak permohonan Khairy meminda pembelaan.

Pada hemat panel itu, sudah terlalu lewat untuk membenarkan permohonan tersebut dengan mengambil kira keadaan kes bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah selesai.

Bagi kedua-dua rayuan, panel itu memerintahkan Khairy membayar kos berjumlah RM60,000 iaitu RM50,000 dan RM10,000 bagi setiap rayuan.

Anwar diwakili oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bertindak mewakili Khairy.

Khairy merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada Anwar kerana memfitnahnya berhubung perlakuan tidak bermoral dalam ceramah yang dibuat di Lembah Pantai sebelum PRU-12.

Anwar menyaman Khairy yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah itu dan menyebabkan satu klip video disiarkan di portal berita.

Pada 29 September 2017, Hakim Azizul Azmi Adnan memutuskan Khairy memfitnah Anwar dan menolak permohonannya untuk mengubah pernyataan pembelaan.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Menteri Kesihatan itu atas sebab teknikal tanpa meritnya didengar.

Bagaimanapun, pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengar meritnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya