KUANTAN: Kerajaan perlu memulihara tanah perkuburan lama Tanjung Betong berdekatan Kampung Kuala Telang di Lipis dekat sini yang berusia 170 tahun kerana ia menempatkan makam pendakwah dan ulama dari negeri ini.
Antaranya ulama Pahang, Habib Hassan al-Attas dan kadi Pahang yang pertama, Kadi Ibrahim Abu Hurairah Berhala Gantang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, tindakan proaktif perlu dilakukan pihak berwajib bagi memelihara tanah perkuburan tersebut.
“Tanah perkuburan lama di Tanjung Betong ini majoritinya adalah makam pendakwah. Ia merupakan lokasi sejarah dan warisan yang perlu dipertahankan supaya ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan tanah perkuburan lama Tanjung Betong yang berusia 170 tahun diancam runtuhan tebing Sungai Jelai berikutan bencana banjir yang melanda pada penghujung tahun lalu.
Penduduk Kampung Kuala Telang, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, lebih 10 kubur di tebing sungai tersebut kemungkinan bila-bila masa akan hilang bersama runtuhan tebing sekiranya musim hujan dan paras air sungai naik.
Beliau berkata, tanah perkuburan itu, sebuah penempatan lama dan bersejarah yang sudah tidak didiami penduduk di bawah pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Telang dan Masjid Kampung Kuala Telang kini diancam runtuhan tebing akibat arus deras Sungai Jelai.
“Berasaskan catatan buku ‘A History of Pahang’ karangan W. Linehan, bekas Pengarah Pendidikan Negeri-Negeri Selat (terbitan pertama 1936) kubur ini boleh dikaitkan dengan perwira Melayu dan penduduk Tanjung Betong yang meninggal dunia ketika terlibat Perang Saudara di Pahang berlangsung sekitar 1857 hingga 1863,” kata Mohd. Farid.
Mengulas lanjut, Aripin berharap pihak berwajib melindungi kawasan tanah perkuburan lama itu bagi memastikan ia tidak rosak diancam hakisan.