JOHOR BAHRU: Pas menyangkal khabar angin yang mengatakan parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setelah rundingan mengenainya masih belum dimuktamadkan.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah sebenar kerusi bagi parti-parti komponen dalam PN masih dalam peringkat perbincangan.
Beliau berkata, pemilihan calon masih diperhalusi dan diperincikan dengan mengambil kira beberapa aspek seperti lokaliti calon bertanding, penerimaan pengundi serta aspek lain yang perlu diberi pertimbangan.
“Tidak (wujud isu tidak puas hati), rundingan kerusi tidak selesai lagi. Begitu juga calon, dapat kerusi baru kita sedia calon. Parti-parti dalam PN sedang berunding dan agihan kerusi berdasarkan kriteria seperti kekuatan jentera parti di sesuatu tempat dan penerimaan pengundi pada calon.
“Perkara itu sedang dipertimbangkan dan jumlah sebenar kerusi bagi parti-parti belum ditentukan dan dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihanraya PN Parlimen Pulai, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai khabar angin Pas tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diberikan pada PRN Johor di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, calon Pas yang akan bertanding pada PRN Johor adalah terdiri daripada calon muda serta golongan profesional.
Tambahnya, bagi membantu PN memenangi PRN Johor, Pas akan menggerakkan jentera dari seluruh negara membabitkan seramai mungkin ahli mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi berharap kerjasama dalam PN akan membawa kejayaan pada PRN Johor dan rakyat Johor dapat membuat pilihan yang tepat bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil.
“Orang tengok pencapaian Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, saya harap rakyat di negeri ini dapat buat pilihan baharu melalui PN. Dengan PN, kestabilan dan keharmonian dapat dipupuk dengan lebih baik seperti di negeri lain. Seperti yang saya sebut, di negeri BN diberi kuasa sedikit, berlaku ketidakstabilan seperti di Melaka dan Johor,” katanya. –UTUSAN.