PASIR GUDANG: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal menyaksikan pertembungan antara beberapa gabungan politik seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sukar untuk dijangka siapa akan muncul pemenang.
Hal itu kerana situasi politik semasa pelaksanaan PRN Johor kali ini akan menjadi sejarah baharu dalam pelbagai aspek kerana ia tidak sama dengan mana-mana pilihan raya sebelum ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PRN Johor juga tidak boleh dibandingkan dengan PRN di Sabah, Sarawak dan Melaka.
“Tidak ada yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal parti mana boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi. Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changer‘.
“Segala ‘score-sheet‘ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 13 dan 14 sudah tidak relevan lagi. Sebagai panduan umum boleh tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, PH dan parti pembangkang lain masih ada masa untuk berunding dan membentuk persefahaman politik bagi mengelak pertembungan tiga atau lebih penjuru dalam PRN Johor.
Menurut beliau, rundingan untuk kerjasama masih belum terlambat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat pada 9 Februari nanti.
“Hari penamaan calon lambat lagi. Masih ada masa untuk berbincang untuk elak pertembungan tiga, empat, lima atau enam penjuru. Bertembung sesama pembangkang akan menguntungkan UMNO dan BN sahaja.
“Jadi parti-parti politik pembangkang di luar PH seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu adakan rundingan.
“Begitu juga dengan parti terbaru ditubuhkan bernama Parti Bangsa Malaysia (PBM), apa status anda sebenarnya. Menyokong kerajaan atau ‘mesra kerajaan’ atau bebas atau pembangkang,” jelasnya.