PRN Johor penanda aras politik bebas rasuah - Hassan - Utusan Malaysia

PRN Johor penanda aras politik bebas rasuah – Hassan

HASSAN Abdul Karim (tengah) meninjau keadaan Sungai Masai yang sering berlaku banjir kilat di Kampung Desa Bakti, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Semua parti politik yang akan berentap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan mengamalkan politik bersih dan matang serta bebas rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PRN Johor perlu meletakkan satu penanda aras baharu dan dijadikan contoh untuk standard baharu pilihan raya di negara ini apabila budaya politik wang tidak lagi dipraktikkan.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, pengundi di negeri ini juga perlu untuk menolak amalan tersebut yang dilihat sebagai salah satu cara membeli undi.

“Sekiranya terdapat mana-mana parti poltik yang cuba memberi sogokan dalam bentuk wang atau barangan semasa berkempen, mereka perlu laporkan kepada polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tidak boleh guna wang untuk beli undi. Ini adalah satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya. Ini adalah amalan rasuah yang perlu dihapuskan setiap kali pilihan raya,” katanya selepas melakukan tinjauan keadaan Sungai Masai di Kampung Desa Bakti, di sini yang sering berlaku banjir kilat.

Hassan memberitahu, parti politik perlu meninggalkan cara hina itu yang seolah-olah merendahkan taraf pengundi yang mudah dibeli dengan wang untuk menarik sokongan.

“Jangan hina dan rendahkan mentaliti rakyat dengan memberikan sogokan wang mahupun barangan. PRN Johor mesti bersih dan kita tidak mahu berlaku seperti PRN di Sabah, Sarawak dan Melaka.

“Rakyat akan pilih parti yang memang boleh berkhidmat dan jika parti bagi wang duit sekalipun belum tentu mereka akan pilih parti itu. Rakyat menolak parti dan pemimpin yang rasuah,” katanya.

Hassan mendakwa, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberikan pelbagai sogokan namun nasib tetap tak menyebelahi mereka apabila tumbang dan ini menunjukkan rakyat sudah semakin bijak memilih.

Mengenai PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sering berbalas kenyataan ketika ini kerana tidak berpuas hati berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor, beliau mahu kedua-dua pihak berunding secara dalaman dan mengikut saluran yang betul.

“Saya percaya semua perbezaan pandangan antara kedua-dua parti itu dapat diselesaikan dalam pertemuan antara PKR, Muda, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum melancarkan Jentera Pakatan Harapan (PH) di Pulai, esok.

“Pertemuan ini yang akan dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu akan jernihkan perbezaan pandangan dan salah faham akan selesai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN