PRN Johor: Pas yakin PN mampu buat kejutan

PRN Johor: Pas yakin PN mampu buat kejutan

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas yakin Perikatan Nasional (PN) mampu membuat kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor biarpun negeri itu diketahui sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika gerak kerja jentera parti berkesan, PN berpotensi untuk meraih undi daripada lebih 700,000 pengundi yang baharu berdaftar di negeri itu.

“Johor ini lebih kurang Melaka dari segi asasnya, cuma kita lihat ada potensi terutama pengundi baharu. Ada 700,000 lebih pengundi masuk dalam senarai baharu dan daripada jumlah ini 150,000 adalah pengundi berusia 18 tahun yang kita sebut millennials.

“Kita bukan mensasarkan pengundi muda semata-mata, cuma mereka tidak terikat dengan parti. Mereka sebaliknya akan mengundi mengikut calon dan isu semasa, jadi potensi banyak di situ.

“Semuanya bergantung kepada perancangan, gerak kerja dan program kita. Sekiranya berjalan baik, mungkin kita boleh buat kejutan di Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRN Johor pada 26 Februari ini, diikuti pengundian awal pada 8 Mac. Sementara itu, hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar dalam pada itu berkata, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju mewujudkan jentera bersama bagi menghadapi PRN Johor.

“Jika di PRN Melaka sebelum ini, jentera kedua-dua parti kita buat berasingan termasuk bilik gerakan jadi tidak ada penyelarasan. Kali ini kita wujudkan jawatankuasa bersama supaya penyelarasan lebih mudah,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap SPR dapat memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kemungkinan kes Covid-19 meningkat disebabkan PRN Johor.

“Pas bimbang jika SOP tidak diperketatkan kes Covid-19 akan naik. Saya diberitahu oleh petugas kesihatan, agak sukar untuk kes turun bila ia naik. Tambahan pula varian Omicron mudah merebak berbanding Delta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN