TEBRAU: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor penting bagi menunjukkan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika BN menang pada PRN kali ini, ia akan memberi mesej dan isyarat jelas mengenai kesiapsiagaan UMNO pada PRU akan datang.
Beliau berkata, PRN Johor juga penting untuk memulihkan semula imej dan maruah UMNO yang lahir di Johor Bahru.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, kemenangan BN pada PRN Johor akan membuktikan kepercayaan rakyat terhadap BN semakin tinggi untuk mengemudi pentadbiran negara pada masa hadapan.
“Rakyat telah melihat pentadbiran di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang gagal sebagai sebuah kerajaan.
“Mereka bukan sahaja gagal menunaikan manifesto yang dijanjikan, tetapi turut gagal membangunkan negara sehingga keadaan ekonomi semakin merudum dan kesejahteraan rakyat terabai,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra BN Sabah bersama BN Tebrau dan Pasir Gudang, semalam.
Bung Moktar berkata, PRN kali ini penting untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan yang boleh mentadbir Johor.
“PRN ini bukan seperti dakwaan pihak tertentu yang menyatakan ia sekadar retorik dan propaganda politik sebaliknya, ini tentang mandat rakyat untuk memiliki kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti yang kuat dan stabil.
“Bagi memastikan BN menang pada PRN Johor, semua jentera parti perlu bekerja keras dan bergerak seiring bersama parti komponen yang lain untuk mendekati pengundi.
“Tidak mustahil kita boleh mencapai kemenangan sekiranya struktur jentera parti kita cukup lengkap dan digerakkan dengan penuh semangat sebagai sebuah pasukan yang kuat. Gerak kerja jentera yang lebih berfokus dan bersepadu bagi mendekati rakyat Johor yang terdiri daripada komposisi masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Pada PRN kali ini, UMNO Sabah menghantar 400 orang jentera bagi membantu calon-calon BN.
Jelas beliau, jentera UMNO Sabah akan berkampung selama dua minggu bagi membantu jentera BN di dua kawasan iaitu Tebrau dan Pasir Gudang.
Hadir sama ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin; Ketua UMNO Bahagian Tebrau yang juga Pengerusi BN Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan. – UTUSAN