JOHOR BAHRU: Satu sindiket dadah yang membuat penghantaran menggunakan syarikat kurier berjaya ditumpaskan selepas tujuh daripada ahli sindiket itu ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, 5 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing itu berusia antara 22 hingga 56 tahun.
Menurut beliau, operasi berkenaan turut menyaksikan pihaknya berjaya merampas dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.04 juta.
“Menerusi serbuan yang dijalankan di Jalan Tebrau dan beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, polis berjaya menahan seramai tujuh ahli sindiket pengedaran dadah.
“Polis turut merampas sebanyak 17.70 kilogram (kg) dadah jenis magic mushroom bernilai RM885,100 serta 3.02 kg serbuk ekstasi bernilai RM151,050,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, modus operandi digunakan sindiket berkenaan adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan, termasuk ke Sabah dan Sarawak.
“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak November tahun lalu di mana bekalan berkenaan diperoleh daripada luar negara. Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 18,608 penagih,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM21,850 dalam operasi terbabit.
“Hasil semakan mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah selain dua daripada mereka turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 6 Februari sehingga 12 Februari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.- -UTUSAN ONLINE










