TAPAH: Polis menafikan mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa pasukan keselamatan itu memberi amaran tentang kehadiran beberapa lelaki kononnya dari syarikat air atau elektrik yang melakukan rompakan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mesej tersebut bukan daripada polis tetapi disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mesej sama pernah tular pada 2019.
“Kita mengesan mesej tersebut semalam mengenai laporan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah mengenai tiga ke empat lelaki akan melawat rumah dan mendakwa mereka dari syarikat air atau elektrik.
“Suspek kononnya datang untuk menukar mentol elektrik untuk tujuan penjimatan sebelum merompak mangsa menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, maklumat tular itu palsu yang mana tiada kejadian rompakan mahupun pencerobohan berlaku dilaporkan kepada polis membabitkan modus operandi sama dan polis juga tidak pernah mengeluarkan amaran sedemikian.
“Masyarakat diingatkan untuk mendapatkan maklumat sahih daripada polis dan jangan sesekali menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu yang boleh mengangu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE