KUCHING: Seramai 31 individu ditangkap di daerah Kuching semasa Ops Tapis oleh sepanjang tempoh 3 hingga 13 Februari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahsmon Bajah, mereka terbabit terdiri daripada 27 lelaki dan empat perempuan yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 53 tahun itu ditangkap dalam serbuan di beberapa lokasi termasuk di Kampung Tupong, Tabuan Dusun dan Taman Sri Sarawak.
Menurut Ahsmon, mereka ditangkap atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah, iaitu masing-masing satu kes di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dua kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 26 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ekoran daripada operasi ini, dadah jenis syabu seberat 646.59-gram turut berjaya dirampas,” katanya.
Sementara itu, katanya seramai 10 orang subjek mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan dadah.
Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, pasukan operasi turut berjaya mencatatkan empat kes di bawah Seksyen 39C Akta Dadah berbahaya 1952. UTUSAN