BAGAN SERAI: Polis meminta saksi kemalangan langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 112, Jalan Ipoh-Butterworth dekat Sungai Bogak di sini pada 10 November lalu tampil membantu siasatan.
Dalam kemalangan pada pukul 11.15 malam itu, mangsa, S .Longeswaran, 25, meninggal dunia selepas sehari dirawat di Hospital Taiping.
Kemalangan turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain berusia 26 tahun mengalami luka di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal itu dari arah Bagan Serai menghala ke Parit Buntar.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta telah melanggar motosikal mangsa dari arah belakang
“Pelanggaran menyebabkan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah motosikal lain.
“Sebaik sahaja pelanggaran, kedua-dua penunggang motosikal terbabit terjatuh di atas jalan raya manakala pemandu kereta berkenaan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, polis juga sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Kilometer 187.2, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada 18 November lalu.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Azwan Adnan, 31, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Taiping.
Mazuki berkata, semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda sendirian dari arah Taiping menghala ke Pulau Pinang untuk ke tempat kerja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terjatuh.
“Mangsa yang parah telah dibawa ke Hospital Taiping, namun disahkan meninggal dunia pada 20 November lalu.
“Keterangan saksi kejadian amat diperlukan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kemalangan itu,” katanya.
Katanya, polis meminta saksi bebas yang berada di tempat kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kerian, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564. – UTUSAN ONLINE










