JOHOR BAHRU: Polis belum menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh mana-mana parti politik menjelang pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sekiranya terdapat aduan sedemikian, pihaknya akan menjalankan siasatan dan tindakan tegas diambil jika terbukti terdapat pelanggaran SOP.
Menurut beliau, walaupun jumlah kematian dilaporkan akibat wabak berkenaan kurang, pihaknya tetap memandang serius usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.
“Buat waktu ini kita masih menunggu SOP berkenaan PRN Johor ditetapkan pihak berkuasa, jadi saya tidak dapat memberi komen terlalu banyak mengenainya. Tetapi saya tegaskan jika ada pihak yang langgar SOP, kita akan siasat dan dapatkan bukti, kemudian kita akan kompaun.
“Namun buat waktu ini kita belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung pelanggaran SOP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya akan mendapatkan bantuan tambahan melibatkan seramai kira-kira 5,000 anggota polis daripada luar Kontinjen Johor bagi membantu sepanjang PRN Johor.
“Dalam PRN Johor itu nanti akan terdapat lebih 4,700 saluran mengundi di mana jika setiap saluran ditempatkan seorang anggota polis, bermakna kita perlukan jumlah anggota yang besar. Sebelum ini saya pernah maklumkan akan terdapat seramai antara 10,000 hingga 11,000 anggota polis bertugas sepanjang PRN Johor, tetapi jumlah itu mungkin bertambah,” ujarnya. – UTUSAN