PETALING JAYA: Dakwaan kononnya polis tidak menjalankan siasatan berhubung kejadian kemalangan maut membabitkan anak kepada bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengesahkan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan sudah dibuka sejurus selepas laporan polis mengenainya diterima.
Selain itu, kata beliau, kuasa menutup mana-mana siasatan bukanlah terletak di bawah bidang kuasa polis dan atas sebab itu, adalah sangat mustahil sama sekali wujudnya campur tangan daripada mana-mana pihak.
“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah mengesan satu ciapan yang tular menerusi Twitter dengan yang mendakwa pihak kami tidak menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.
“Semua langkah-langkah perlu dalam prosedur siasatan dilaksanakan sepenuhnya termasuk membuat ujian darah dan air kencing di mana keputusan ujian air kencing adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, keputusan ujian toksikologi terhadap sampel darah masih belum diperoleh dari Jabatan Kimia Malaysia.
Sehubungan itu, jelasnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai tohmahan yang tidak berasas seperti ini.
“Polis akan menjalankan siasatan seadil-adilnya kepada kedua-dua belah pihak berlandaskan peruntukkan undang-undang.
“Konsep keadilan ini meliputi hak bagi orang yang menjadi mangsa dan juga kepada orang yang sedang disiasat,” ujarnya.
Tambah Anbalagan, tohmahan seperti itu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi polis demi kepentingan peribadi pihak yang tidak bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE










