MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sedang mengatur strategi memujuk golongan ibu bapa bagi menangani isu 80,000 kanak-kanak yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pertemuan itu akan dibuat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, antara kemudahan yang akan ditawarkan kepada golongan ibu bapa bagi memudahkan pemberian vaksin itu adalah membawa unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah.
“Kerajaan negeri bersama-sama agensi terlibat termasuklah JPN dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang mengatur strategi untuk memujuk golongan ibu bapa mendaftarkan anak mereka.
“Kita akan buat pertemuan dengan PIBG dalam masa terdekat dan bersetuju dengan cadangan JKN untuk membawa unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Mahir Tutor Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hj. Abd. Malek di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga optimis 80 peratus daripada keseluruhan 98,600 kanak-kanak di negeri ini akan menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
“Saya optimis jumlah kanak-kanak yang menerima vaksin akan meningkat kepada 80 peratus dengan pelaksanaan unit bergerak di sekolah nanti.
“Ibu bapa juga akan lebih yakin, malah mereka tidak perlu lagi bersusah payah membawa anak-anak ke pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini, hanya 15,000 kanak-kanak telah mendaftar melalui MySejahtera, sejak awal Januari lalu.
Katanya, angka itu dilihat terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan 98,600 kanak-kanak yang layak menerima vaksin dipercayai disebabkan sikap ‘tunggu dan lihat’ ibu bapa yang bimbang dengan kesan suntikan itu. – UTUSAN.











