Permohonan Muhammad Shafee padam kandungan pernyataan pegawai LHDN 15 Februari - Utusan Malaysia

Permohonan Muhammad Shafee padam kandungan pernyataan pegawai LHDN 15 Februari

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Februari ini bagi memutuskan permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk memadam sebahagian kandungan pernyataan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan kes pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menangguhkan keputusan selepas mendengar penghujahan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pihak pendakwaan.

Pasukan pembelaan ketika mengemukakan permohonan lisan pada 26 Oktober 2021 menyatakan, pihaknya memohon memadam 33 perenggan daripada keseluruhan 51 perenggan yang terkandung dalam pernyataan bertulis sepanjang 13 muka surat yang dibuat oleh Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhammad Shafee yang menghadapi tuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam permohonannya hari ini, Harvinderjit berkata, sebilangan perenggan dalam pernyataan saksi pendakwaan ketujuh (SP7) itu tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Muhammad Shafee.

Hujahnya, ini kerana kesimpulan yang dibuatnya berdasarkan keterangan ‘dengar cakap ‘ (hearsay) selain memberikan pandangan perundangan ketika membuat kesimpulan kes walhal beliau tidak mempunyai latar belakang undang-undang.

Hujah Harvinderjit, pandangan yang dikemukakannya selepas menjalankan siasatan melibatkan LHDN, tiada kena mengena dengan kes pengubahan haram yang dihadapi oleh anak guamnya.

Bagaimanapun, Afzainizam berhujah, permohonan Muhammad Shafee untuk memadam sebahagian perenggan yang terkandung dalam penyataan tersebut adalah tidak berasas dan bersifat pramatang pada peringkat ini.

Hujah pihak pendakwaan, Syed Nasrul Fahmi ketika itu merupakan pegawai LHDN yang diberi kuasa statutori menjalankan siasatan dan membuat dapatan fakta berdasarkan keadaan kes bagi menyokong kesimpulannya.

Menurut Afzainizam, pihak pembelaan mengambil jalan pintas (short cut) dengan memohon untuk memadam perenggan-perenggan tertentu, walhal peguam bela sepatutnya mencabar fakta-fakta yang dinyatakan oleh pegawai LHDN tersebut ketika perbicaraan.

Sehubungan itu, pendakwaan menghujahkan, keterangan yang dikemukakan oleh saksi berkenaan tidak perlu dipadam kerana ia relevan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Muhammad Shafee.

Afzainizam berkata, hujah pembelaan bahawa saksi tersebut memberi pandangan dari segi perundangan, adalah tidak tepat kerana beliau membuat pernyataan berdasarkan fakta dan dokumen.

Muhammad Shafee didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya