Perlu garis panduan lebih jelas untuk vaksin kanak-kanak 

Perlu garis panduan lebih jelas untuk vaksin kanak-kanak 

AMALUDDIN Ahmad melihat senarai kehadiran orang awam untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dos penggalak di Hospital UCSI, Port Dickson, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Garis panduan yang lebih jelas perlu ditetapkan oleh kerajaan bagi memberi kefahaman kepada ibu bapa tentang keperluan dan kepentingan vaksinasi bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Pengarah Perubatan dan Pakar Kanak-Kanak Hospital UCSI, Prof. Dr. Amaluddin Ahmad berkata, kegusaran itu timbul selepas timbul persepsi bahawa kanak-kanak divaksin berisiko mengalami miokarditis atau radang otot jantung dan sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC).

“Ada sebahagian kecil kanak-kanak yang mengambil vaksin mungkin mengalami gejala MISC namun kanak-kanak yang divaksin dan dijangkiti Covid-19 berdepan risiko 37 kali lebih rendah untuk mengalami kesan kesihatan tersebut.

“Selain itu, setiap dos yang diberikan kepada kanak-kanak adalah rendah iaitu hanya satu pertiga daripada dos orang dewasa atau 0.2 mil sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan delegasi daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) di Hospital UCSI, di sini hari ini.

Jelas Amaluddin, ibu bapa perlu mendapat maklumat yang tepat tentang keperluan dan kepentingan vaksinasi kepada kanak-kanak daripada sumber yang sahih tanpa terpengaruh kepada berita-berita negatif.

Beliau berkata, sehubungan itu lebih ramai pakar kesihatan awam perlu diberi ruang untuk bercakap soal kepentingan mengambil vaksin di media arus perdana. 

“Saya tengok peringkat awal dulu memang ramai pakar-pakar kesihatan awam dipanggil bercakap tetapi sekarang sudah berkurangan. Pakar perubatan yang lebih berautoriti perlu ke depan memberi maklumat yang sahih kepada masyarakat,” katanya. 

Menurut Amaluddin, bagaimanapun pilihan terletak kepada ibu bapa sendiri sama ada mahu anak divaksin atau tidak namun jangan letakkan anak dalam risiko tanpa divaksin.

“Keputusan yang jelas perlu diletakkan tentang keperluan dan kepentingan vaksinasi ini kepada kanak-kanak supaya sistem pembelajaran di sekolah kembali normal. Kalau kita lihat sekarang, banyak kluster di sekolah timbul dan asrama terpaksa ditutup dan pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibuat semula di rumah,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari 2022 dan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya