Penyu mati perlu dibedah siasat - pakar - Utusan Malaysia

Penyu mati perlu dibedah siasat – pakar

MOHD UZAIR ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan disaran menjalankan bedah siasat ke atas setiap bangkai penyu yang ditemukan di negara ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian reptilia marin itu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, pemeriksaan luaran sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kaedah secara saintifik perlu digerakkan segera bagi mengurangkan kadar kematian penyu yang makin membimbangkan terutama di Terengganu.

Katanya, menerusi proses bedah siasat, pakar autopsi mampu mengesan punca di samping menganggarkan lokasi kematian haiwan terancam itu berdasarkan pemodelan lautan.

“Di negara yang cuacanya ekstrim, ada kes penyu membeku selain keracunan akibat tumpahan minyak sekali gus menyebabkan kematian penyu meningkat.

“Saya bimbang jika kematian penyu di Malaysia berpunca daripada sesuatu perkara baharu yang tidak pernah kita tahu, jadi bedah siasat amat penting untuk mencari jawapan sebenar dan bukan sekadar andaian sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terengganu merekodkan kes kematian penyu tertinggi dalam sejarah apabila 17 bangkai reptilia marin itu ditemukan sepanjang bulan lalu.

Menurut Mohd. Uzair, sudah lama proses bedah siasat penyu tidak dilakukan dan cabaran kini adalah dari segi tenaga kerja dan kepakaran yang terhad.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memperuntukkan dana khas bagi melatih penyelidik di samping penyediaan kelengkapan berkaitan.

“Langkah proaktif yang diambil ini termasuk penubuhan pasukan autopsi sekali gus menggambarkan persiapan Malaysia untuk masa depan kerana pemuliharaan penyu sama pentingnya seperti Dasar Jaminan Bekalan Makanan negara.

“Jika penyu pupus, ekosistem lautan akan lumpuh dan tidak seimbang lagi, akhirnya sektor perikanan turut terjejas teruk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN