Penternak ayam dakwa rugi RM200 juta sehari - Utusan Malaysia

Penternak ayam dakwa rugi RM200 juta sehari

Penternak ayam dakwa alami kerugian besar sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia apabila menanggung kenaikan kos pengeluaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 3,000 penternak ayam di seluruh Semenanjung kerugian RM200 juta sehari sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) apabila menanggung kenaikan kos pengeluaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, kerugian para penternak menyebabkan mereka terpaksa menutup operasi setelah tidak mampu menampung kos dan kerugian dialami pada nilai setiap kilogram ayam yang dijual.

Beliau menjelaskan, penutupan operasi tidak dapat dielakkan itu adalah antara punca kekurangan stok bekalan ayam dan telur seperti yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila kerajaan melaksanakan skim harga, harga jualan ayam kepada pengguna terpaksa dikurangkan sedangkan kos pengeluaran meningkat. Akhirnya yang tanggung kos kerugian adalah penternak, di samping itu kita tidak terima apa-apa subsidi atau bantuan kerajaan.

“Memandangkan ada dalam kalangan peternak tidak mampu lagi tanggung kerugian, mereka akhirnya terpaksa tutup operasi perniagaan.

“Bila ini berlaku, secara langsung memberikan kesan kepada rantaian bekalan ayam di seluruh negara dan kini pun sudah berlaku kebelakangan ini,” katanya.

Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini memutuskan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen da­ripada harga siling yang ditetapkan sekarang menjadi RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan SHMKM semasa bermula 5 Februari sehingga 5 Jun ini.

Sebelum itu, bermula 1 Januari hingga 4 Februari, kerajaan me­laksanakan SHMKM membabitkan 12 barangan bawah kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran sebagai langkah jangka pendek menstabilkan harga barang dan keberadaan bekalannya dalam pasaran.

Dalam pada itu, Jeffrey membangkitkan khabar berita subsidi seperti yang dijanjikan kerajaan kerana sehingga kini, para penternak masih belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu bagi menampung kos dialami mereka.

Kata beliau, para peternak amat memerlukan subsidi tersebut supaya dapat mengurangkan beban terpaksa ditanggung dan secara langsung dapat memulihkan rantaian bekalan ayam.

“Memang kita ada berita subsidi, tetapi sehingga kini tidak dimaklumkan mekanisme dan waktu tempoh akan disalurkan kepada para peternak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini