CAMERON HIGHLANDS: Peniaga di Cameron Highlands bimbang jika sekatan merentas daerah atau negeri dilaksanakan semula berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat kerana ia akan menjejaskan perniagaan mereka.
Peniaga khuatir perniagaan yang baharu hendak pulih akan kembali terjejas teruk seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
Pemilik perniagaan Siqkliz Enterprise yang menjual strawberi, pakaian terpakai dan cenderamata, Mohd. Kazz Zakaria, 39, berkata, walaupun sudah beberapa bulan kembali beroperasi seperti biasa, perniagaannya masih belum mampu menampung kerugian semasa tempoh PKP.
Menurutnya, sewaktu tempoh PKP, Cameron Highlands lengang, menyebabkan perniagaan tidak dapat dijalankan.
“Sewaktu tempoh PKP, memang terduduk jika fikirkan perniagaan. Saya terpaksa mencari alternatif lain bagi memastikan buah strawberi boleh dijual. Kejadian tanah runtuh pada Disember tahun lalu menambahkan lagi kegusaran pengunjung untuk melancong ke sini.
“Selepas kejadian tanah runtuh itu, jumlah pengunjung semakin kurang malah hujung minggu pun macam tiada orang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Kazz berharap kerajaan tidak melaksanakan sekatan disebabkan kes Covid-19 yang meningkat yang akan menjejaskan perniagaannya.
“Saya harap kerajaan tidak membuat sekatan yang boleh menjejaskan perniagaan kerana sewaktu tempoh PKP, kami terpaksa menjualnya ke Lembah Klang tetapi strawberi hanya mampu bertahan selama tiga hari, jika tidak kualitinya akan terjejas,” katanya.
R. Sentharamai, 49, peniaga di Tanah Rata berkata, dia lega apabila dapat berniaga semula namun tetap bimbang jika pergerakan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.
“Perniagaan kami bergantung sepenuhnya kepada agro dan pelancongan. Sewaktu tempoh PKP, perniagaan tutup, kini hanya buka Jumaat, Sabtu dan Ahad tetapi sekarang pun pelanggan tak ramai,” katanya.
Tantrisyalini, 25, yang bekerja di Kedai Cenderamata Adik Aisyah berkata, gajinya tetap dibayar oleh majikannya yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Risau juga jika PKP kembali kerana kami sudah mula beroperasi seperti biasa, banyak kos yang perlu ditanggung,” katanya. – UTUSAN