SHAH ALAM: Pengeluaran wang tabungan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000 sekali lagi ditegaskan bukanlah penyelesaian kepada masalah pengurangan atau kehilangan pendapatan dihadapi pencarumnya.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau bersetuju dengan pandangan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu mencari penyelesaian ‘luar kotak’ bagi menyelesaikan isu bantuan kewangan kepada rakyat.
“Saya berpendangan sebagai Ketua Armada, pihak Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu mengadakan penyelesaian di luar kotak, selain daripada apa yang kita dengar daripada Pemuda UMNO (Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki) khususnya tentang KWSP ini.
“Saya bersetuju dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, KWSP bukanlah penyelesaian yang patut kita gunakan untuk membantu rakyat yang susah. Perlu ada instrument kewangan lain yang kementerian atau Bank Negara perlu laksanakan khususnya melibatkan moratorium,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sehubungan itu, beliau turut mendakwa bank-bank di negara ini membuat keuntungan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 2020 dan berharap moratorium boleh dilanjutkan bagi mereka yang memerlukan.
“Saya rasa, bank buat untung yang banyak ketika PKP, saya rasa tak ada isu atau masalah untuk mereka lanjutkan moratorium ataupun hapuskan hutang, namun perkara ini perlu penelitian rapi daripada Bank Negara dan Kementerian Kewangan.
“Kalau boleh Bank Negara lanjutkan moratorium sampai kita benar-benar pulih daripada ekonomi, wujud peluang pekerjaan yang baharu, barulah rakyat boleh bernafas semula,” ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal menambah, Kabinet dan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga diharapkan dapat meneliti cadangan melanjutkan moratorium dan menyerahkan data lengkap kepada Bank Negara untuk dipertimbangkan.
Terdahulu, beliau melawat melawat Gereja Assembly Of God di Jalan Anggerik Eria 31/A di Kota Kemuning, di sini, yang hangus dalam satu kejadian kebakaran pada Rabu lalu.
Dalam lawatan tersebut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara memaklumkan kementeriannya akan meneliti jumlah peruntukan yang boleh disalurkan bagi membaik pulih gereja berkenaan selepas laporan lengkap kerugian diterima. – UTUSAN










