Pengarah syarikat dipenjara 2 tahun dan denda RM829,170 - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat dipenjara 2 tahun dan denda RM829,170

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat yang menjalankan program latihan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM829,170 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu.

Dokumen itu berkaitan program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia-Industri (SKK1M) melibatkan wang RM165,834.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fauzi Abdul Samad, 50, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun. Bagaimanapun, Rozina memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah turut membenarkan pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan wang jaminan daripada RM40,000 kepada RM65,000.

“Mahkamah harap perkara sama tidak diulangi dan menjadi contoh teladan kepada anak-anak. Hendak cari rezeki, carilah dengan cara yang betul,” ujar Rozina.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan seorang lagi individu, Mohd. Faisal Isyak atas pertuduhan bersubahat dengan Ahmad Fauzi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fauzi telah memberikan suatu dokumen palsu iaitu invois kepada empat syarikat bertarikh 25 November 2013 berjumlah RM165,834.

Dokumen itu berkaitan empat program SKK1M yang sebenarnya tidak dijalankan oleh empat syarikat tersebut.

Empat syarikat itu ialah Moca Resources Sdn. Bhd.(Program Painting & Blasting), Alfah Synergy Sdn. Bhd. (Structured Internship Programme Scaffoding) Occupational Safety & Health Sdn.  Bhd. (Site Safety Supervisor Structured Internship Programme) dan Iskandar Vocational & Tech Academy Sdn. Bhd. (Program Koloborasi Strategi Kolej Komuniti Bersama Industri – Juruteknik Telekomunikasi).

Kesemua invois palsu berkaitan program itu diberikan kepada seorang pegawai sebuah kolej komuniti.

Kesalahan itu dilakukan di ibu pejabat kolej tersebut pada 25 November 2013.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes dan kepentingan awam.

Bagaimanapun peguam Azzamudin Abd. Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Disember 2019, seramai 30 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.