KLANG: “Kami manusia, bukannya haiwan.”
Penduduk Flat Pandamaran Jaya di sini marah dan kecewa apabila sampah pukal seperti sofa, tilam serta perabot lain yang dibuang di tempat pengumpulan sampah terbiar lebih sebulan.
Menurut wakil penduduk, A. Selvakumaran, 61, masalah tersebut berlarutan, namun tiada tindakan proaktif diambil bagi mengatasi masalah tersebut walaupun aduan pernah dibuat kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
“Masalah sampah pukal berlonggok sejak sebulan yang lalu telah diadukan kepada pihak pengurusan harta di bawah PKNS tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini.
“Pihak kontraktor yang dilantik pula hanya mengutip sampah dapur yang dibuang di dalam dua tong besar yang disediakan tetapi tidak mengutip sampah pukal. Ini yang membuatkan penduduk marah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Selangor People’s Voice (SPV) di sini.
Beliau menambah, pihak pengurusan memaklumkan kontraktor sudah dimaklumkan mengenai kelewatan kutipan sampah, namun sehingga kini sampah pukal tersebut masih tidak dikutip walaupun sedikit.
“Saya berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga dapat membuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini.
“Kerana sehingga kini belum ada sebarang tanda masalah ini dapat diselesaikan oleh sesiapa. Saya tidak tahu sampai bila kami harus menunggu, hingga ada yang sakit dan mati agaknya baru hendak bertindak,” katanya.
Malah, Selvakumaran memaklumkan, penduduk mulai bimbang dengan kehadiran haiwan perosak seperti tikus yang mula membiak di tempat pengumpulan sampah berhampiran kediaman mereka.
Dalam pada itu, beliau turut memohon pihak berkuasa membina semula pagar dekat sempadan pangsapuri 12 tingkat yang terletak bersebelahan dengan kawasan rumah apabila wujud tindakan penghuni di sana membuang sampah di flat mereka.
“Kawasan flat ini sudah 22 tahun saya diami, tiada kemudahan seperti padang, dewan yang selesa mahupun surau untuk umat Islam. Kini timbul pula masalah sampah,” ujarnya. – UTUSAN











