PETALING JAYA: Penduduk di kawasan berpotensi mengalami peningkatan kelembapan susulan luruan angin timuran yang dijangka berterusan diminta untuk lebih berwaspada.
Ini berikutan luruan angin timuran dijangka berterusan sehingga 12 Februari, berdasarkan analisis model Met Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).
Sehubungan itu, keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri Pantai Timur.
Pada masa yang sama, cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir juga dijangka di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang hingga awal malam.
Amaran Hujan Berterusan peringkat buruk juga dikeluarkan untuk selatan Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 11 Februari esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, penduduk di kawasan yang dijangka terlibat, rendah dan biasa dinaiki air untuk lebih berwaspada apabila berlaku hujan lebat.
Katanya, orang awam dinasihatkan menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil apabila berlaku sesuatu kejadian buruk serta segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.
“Penduduk di kawasan yang dijangka terlibat perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan cuaca.
“Amaran atau ramalan cuaca boleh diakses melalui laman web rasmi dan media sosial rasmi Met Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1MET(1638) dan aplikasi myCuaca,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN









