Pemuda BN kemuka lebih 15 nama calon - Utusan Malaysia

Pemuda BN kemuka lebih 15 nama calon

ASYRAF Wajdi Dusuki (kiri) bersama Noor Azleen Ambros (kanan) menampal pelekat Pickids sempena Program Pengangkutan Percuma Pickids di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pemuda Barisan Nasional (BN) mengemukakan lebih daripada 15 nama calon kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan calon itu bagaimanapun masih belum diputuskan dan berada dalam fasa penilaian ketika ini.

Katanya, senarai calon yang dikemukakan itu sudah pasti menepati kriteria yang ditetapkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’, ‘likeable’ dan ‘integrity’.

“Calon-calon ini sudah tentu sama seperti di PRN Melaka iaitu calon muda yang berkelayakan dan berketerampilan dari segi pencapaian akademik yang baik.

“Mereka juga adalah individu yang sudah lama menjalankan gerak kerja bersama parti dan sudah pun dikenali masyarakat, bukannya baru sahaja nak tonjolkan diri,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Percuma Pickids khusus untuk penduduk Pasir Gudang di Pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, disini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pemuda BN Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.

Oktober lalu, Ahmad Zahid menggariskan calon BN yang bertanding dalam PRN Melaka perlu mempunyai ciri WALI dan perlu jug memiliki sifat wali Allah iaitu mempunyai ilmu yang boleh diterima semua agama, kaum dan keturunan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu, Pemuda BN mengharapkan UMNO dan BN secara umumnya akan menampilkan lebih ramai calon-calon baharu dan muda seperti yang dilakukan pada PRN Melaka.

“Kalau boleh, kita mahu teruskan pencapaian di PRN Melaka iaitu kira-kira 87 peratus calon-calon baharu dan lebih 80 peratus calon muda. Apa yang paling penting calon yang ditampilkan mestilah mereka yang mampu memberi khidmat bakti terbaik kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, Pemuda BN tidak hanya memberi tumpuan di kawasan yang akan mereka tandingi sebaliknya semua kerusi yang disertai gabungan itu bagi memastikan kemenangan besar dalam PRN tersebut.

“Ini kerana Johor adalah cerminan kepada Malaysia untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kuat. Kita juga tidak tumpu pada satu kaum sahaja dan kita akan memenangkan semua parti sama ada UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN