BUTTERWORTH: Tidak timbul sebarang isu berhubung perbezaan pandangan atau ketiadaan komunikasi antara Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan Menteri Kuartet Covid-19 berhubung pembukaan semula sempadan negara 1 Mac ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana ada dalam kalangan anggota MPN dan Menteri Kuartet Covid-19 itu merupakan individu sama.
“Itu biasalah jika ada pihak yang cuba laga-lagakan kita. Sebenarnya, ini bukanlah sesuatu yang pelik dan boleh dijawab dengan mudah kerana di bawah Jawatankuasa Pemulihan Negara ini turut dianggotai oleh Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kewangan yang juga ahli kuartet.
“Jadi, nak katakan kita tak ‘communicate‘ (berkomunikasi), ahlinya sama (MKN dan Kuartet Menteri). Cuma, di peringkat jawatankuasa pemulihan ini, mereka tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan seorang Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching yang mempersoalkan sama ada keputusan pembukaan semula sempadan ini dibuat oleh MPN atau Kuartet Menteri.
Jelas Hishammuddin, dalam hal ini, Pengerusi MPN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mengesyorkan sempadan dibuka sebelum 1 Mac tanpa kuarantin wajib dan cadangan itu kemudian dibawa ke kuartet untuk dibincangkan secara lebih mendalam.
“Di peringkat kami (Menteri Kuartet), mengalu-alukan cadangan itu, namun keputusan bukan dibuat di peringkat kuartet pun. Ia sama ada akan dibawa ke Kabinet atau jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk diputuskan,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menggesa syarikat swasta khususnya yang berkaitan industri pertahanan negara supaya lebih proaktif dalam membangunkan industri berkenaan dan membentangkan perkara itu kepada pihak kementerian dalam masa terdekat.
“Jika keadaan ini berlaku, saya rasa tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menggembleng tenaga untuk memikirkan kaedah terbaik (dalam memajukan industri pertahanan negara) tanpa mengira sama ada rakan kongsi kita dari negara mana seperti Turki, Amerika Syarikat dan sebagainya. Apa yang penting setiap kerjasama itu akan memuaskan dan memberikan keselesaan kepada pihak ‘end user‘ (tiga cabang ketenteraan iaitu udara, darat dan laut),” katanya.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan berlakunya kerjasama pertahanan yang lebih erat antara Malaysia dan Turki susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat pertahanan tempatan, MA Analytics dengan tiga buah syarikat gergasi pertahanan dari Turki baru-baru ini. – UTUSAN











