PETALING JAYA : Masalah bekalan telur terus menghantui pengguna di beberapa kawasan di negara ini.
Sebagai contoh Teluk Intan , Perak Peniaga kedai runcit di Kampung Bahagia di sini, Hock Heng berkata, setiap hari dia terpaksa berdepan dengan rungutan pelanggan yang bertanyakan tentang jualan telur.
Katanya, dia telah berusaha menerangkan kepada pelanggan mengenai kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur namun tetap diajukan soalan yang sama setelah pelanggan hampa untuk membeli telur.
“Ramai pelanggan bertanya tentang kekurangan bekalan telur, jadi saya terpaksa memberitahu perkara sebenar malahan jika saya menampal poster ketiadaan bekalan telur sekali pun, pelanggan tetap bertanya.
“Saya terangkan kepada mereka keadaan sebenar supaya peniaga seperti saya tidak dipersalahkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, telur yang ada pun hanya gred B dan C manakala gred A sukar untuk diperoleh.
Katanya, sebelum ini jika ada pun bekalan telur, dia hanya membeli 10 papan sahaja.
“Tapi sekarang amat payah, nak dapat sepapan pun susah. Saya sebagai peniaga tiada niat nak hampakan pelanggan yang datang, saya faham mereka nak beli telur tapi pulang tangan kosong,”
HOCK Heng menunjukkan kotak telur yang kosong di kedainya
di Teluk Intan Perak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN.katanya.
Sementara itu di Langkawi, penduduk di pulau ini didapati terputus bekalan telur di pasaran selepas permintaan tinggi semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Seorang pemilik kedai runcit, Aripah Yaacob, 54, berkata, dia tidak mendapat bekalan telur yang cukup sejak cuti perayaan Tahun Baharu Cina lalu.
“Biasanya, kami menerima 2,880 biji telur bagi setiap penghantaran setiap minggu, tetapi bekalan tersebut mula berkurangan pada Disember.
“Sekarang, kami hanya menerima 720 biji telur sahaja untuk satu-satu penghantaran dan memang tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan,” katanya.
Peniaga kedai makan, Mohd. Hannan Hanif Abdul Halim, 33, berkata, dia tidak dapat menjual sebahagian menu di kedainya kerana ketiadaan bekalan telur.
“Bekalan telur yang berkurangan sejak Tahun Baharu Cina menyebabkan saya tidak dapat menjual nasi bujang dan beberapa menu masakan barat yang menggunakan telur.
“Saya sebagai peniaga akan kerugian sekiranya masalah bekalan telur ayam berlarutan dalam tempoh yang lama,” ujarnya
Pengguna, Rozalina Zainol, 34, pula berkata, dia telah berkunjung ke beberapa buah kedai di sekitar sini tetapi tidak berjaya membeli telur kerana telah kehabisan bekalan.
“Saya bukannya hendak beli banyak pun, nak cari sepapan (tiga puluh biji) telur saja untuk dimasak sebagai lauk harian.
“Tetapi sekarang ni sebiji telur pun tiada, dan semua kedai yang saya tanya memaklumkan mereka tidak pasti bila pula bekalan tersebut akan diterima,” katanya.- UTUSAN ONLINE










