IPOH: Pembangkang Perak tidak mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri ini demi memastikan kestabilan politik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, pembangkang secara konsisten sememangnya tidak mahu PRN diadakan sebelum ini seperti di Melaka dan Johor.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, PH meletakkan kestabilan politik sebagai keutamaan menerusi persefahaman dengan kerajaan termasuk di Perak.
“PH sangat konsisten, dari Melaka dan Johor kami mahukan kestabilan politik di negeri itu apabila kami memberikan kerjasama. Kami tidak cakap kosong, di Johor kami telah buktikan, di Perak kami lebih awal membuat persefahaman dengan Menteri Besar demi kestabilan.
“Sudah tentu kami tidak mahu (PRN Perak), demi kestabilan, itu lebih utama sehinggalah keperluan diadakan pilihan raya secara perundangan ditentukan lima tahun lengkap iaitu pada 2023.
“Apa perlu kepada pilihan raya negeri yang menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemimpin PH Bersama Media di sini hari ini.
Mengulas perkara sama, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, rakyat tidak akan dibebankan dengan PRN yang tidak seiring dengan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Dari segi taktikal pula, tiada PRN bermakna ia memberi masa kepada PH untuk selesaikan isu-isu. Kestabilan politik seperti mana disebut-sebut pihak luar sebenarnya wujud di Perak,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membawa kepada PRN tidak akan berlaku di Perak.
Menurutnya, kerajaan negeri masih mendapat sokongan kuat termasuk daripada pembangkang dan akan diteruskan sehingga habis penggal.
Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Saarani ketika ini memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu empat kerusi, Pas tiga kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.
DUN Perak memiliki 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah. – UTUSAN