ALOR SETAR: Polis menahan pemandu yang membawa dua kanak-kanak di ruangan kargo sebuah pacuan empat roda di lampu isyarat Simpang Tiga Jalan Jitra di Kubang Pasu semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima satu rakaman video yang tular itu di laman media sosial pada pukul 2.26 petang semalam.
Katanya, rakaman yang berdurasi 26 saat itu memaparkan kenderaan jenis Toyota Hilux tersebut membawa dua penumpang kanak-kanak di belakang kargo tanpa bertutup dan tanpa pengawasan orang dewasa yang boleh mendatangkan bahaya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di lampu isyarat Simpang Tiga Jalan Jitra berhampiran Balai Polis Jitra Lama.
“Pada 31 Januari semalam, pukul 3 petang bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kubang Pasu mengesan suspek seorang lelaki di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, Jitra,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan suspek yang juga datuk kepada kedua-dua kanak-kanak itu mengaku memandu kenderaan itu sambil membiarkan dua cucu perempuan duduk di belakang hanya sekadar suka-suka.
“Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang merbahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Sebagai pengajaran bersama pihak polis menyeru agar ibu bapa mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya lebih bertanggungjawab dengan keselamatan kanak-kanak,” katanya.