Pemandu Nissan Navara didakwa empat tuduhan membunuh, dua berkaitan dadah - Utusan Malaysia

Pemandu Nissan Navara didakwa empat tuduhan membunuh, dua berkaitan dadah

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret  dan dituduh atas empat tuduhan membunuh dan dua berkaitan dadah di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pemandu Nissan Navara yang terlibat kemalangan dengan Toyota Vellfire hingga menyebabkan empat sekeluarga maut di simpang empat Kampung Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di sini, Jumaat lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bentong di sini hari ini, atas enam tuduhan. 

Tertuduh, Ahmad Fuad Mohd. Salleh, 44, berdepan empat tuduhan membunuh dan dua kesalahan berkaitan dadah.

Ahmad Fuad yang memakai baju lengan pendek menyatakan faham selepas empat pertuduhan membunuh dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi pertuduhan berkaitan dadah, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Ahmad Fuad yang berasal dari Lipis, dekat sini dan bekerja sebagai penternak ikan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika bersalah. 

Mengikut empat kertas pertuduhan berkenaan, kira-kira pukul 2.30 petang pada 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong tertuduh didapati membunuh empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43; Ahda Dalili Mohd. Nazri,14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri, 5. 

Bagi pertuduhan kelima pula tertuduh didakwa pada pukul 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) ADB yang dibaca bersama Seksyen 38 B ADB.

Dalam pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada pukul 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) ADB 1952.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Shahrul Eksan dalam prosiding menyatakan tertuduh tidak diberikan jaminan termasuk dalam kes berkaitan dadah memandangkan turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan maklumat bedah siasat keempat-empat mangsa dan juga laporan kimia tertuduh.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Dalam kejadian kemalangan pada 28 Januari lalu, empat yang maut dalam kejadian itu penumpang Toyota Vellfire, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd, Nazri, 14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri berusia empat tahun. 

Suami Raihan yang juga pemandu Toyota Vellfire, Mohd. Nazri Hamid, 43, guru di Gua Musang, Kelantan mengalami kecederaan dan patah tangan kiri. 

Pemandu Nissan Navara mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Polis turut menemukan dadah dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu lelaki berkenaan yang turut positif dadah jenis methmaphetamine. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya