BUKIT MERTAJAM: Aktiviti pemadaman api secara berterusan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung sejak 12 Januari lalu dipercayai menambahkan lagi isu tekanan air rendah di beberapa kawasan perumahan tanah tinggi dan hujung paip agihan khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, ini kerana untuk memadamkan api tersebut, anggota bomba terpaksa mendapatkan sumber air dari kawasan sungai berhampiran.
“Pada masa sama, pasukan bomba sukarela dan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) menggunakan bekalan air yang diperoleh daripada pili air PBAPP yang terletak di sekitar kawasan tapak pelupusan sampah dan ini secara kebetulan telah mengurangkan tekanan air di beberapa kawasan di SPS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, faktor lain yang memburukkan lagi isu tersebut ialah cuaca panas serta permintaan tinggi terhadap air sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
“Oleh kerana suhu yang tinggi, maka lebih ramai pengguna khususnya masyarakat Cina di Seberang Perai telah menggunakan lebih banyak air setiap hari dalam membuat persiapan untuk perayaan Tahun Baharu Cina.
“Trend penggunaan air yang tinggi semasa musim perayaan pada tahun ini juga berkemungkinan berterusan sehingga pertengahan Februari ini,” ujarnya.
Tambah Jaseni, pihaknya kini sedang berusaha menangani isu tekanan air rendah di SPS memandangkan permintaan air di daerah itu meningkat dengan ketara disebabkan pertumbuhan sosioekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – UTUSAN