PETALING JAYA: Pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 Mac ini memberi sinar baharu kepada sektor pelancongan terutama perhotelan selepas dua tahun mengalami kerugian berbilion ringgit akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M Saaid berkata, pihaknya mengalami kerugian RM6.5 bilion pada 2020 dan lebih RM7 bilion pada tahun lalu kerana aktiviti pelancongan disekat.
Shaharuddin berkata, pintu sempadan negara sangat wajar dibuka kerana langkah berkenaan buka sahaja memberi nafas baharu kepada sektor perhotelan malah, memberi khabar gembira buat sektor-sektor lain di negara ini untuk terus ‘hidup’.
“Sekarang kita sudah ada ‘benteng’ Covid-19 iaitu vaksin dan kita juga ada dos penggalak, jadi saya melihat tiada sebab untuk kita tidak buka pintu sempadan sekarang. Telah lama kita nantikan perkara ini, saya harap kerajaan dapat realisasikannya.
“Dahulu kita ambil langkah untuk ketatkan dan tutup pintu sempadan sebab kita tiada vaksin dan sekarang pun walaupun kes dilihat meningkat ia tidak melibatkan tahap yang teruk. Jadi. kita kena bergerak ke hadapan untuk pastikan ekonomi kembali pulih.
“Kerajaan kena ada keyakinan untuk ini (buka sempadan). kita telah lalui pelbagai musibah untuk bertahan. Ada ahli MAHO sendiri yang bertaraf hotel empat dan lima bintang telah gulung tikar dan menutup operasi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan MPN bersetuju supaya sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, pihaknya juga bersedia dan memberi jaminan akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan selepas pintu sempadan dibuka nanti, asalkan pelancong luar dibenarkan masuk ke Malaysia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, pihaknya berharap hasrat untuk membuka pentu sempadan itu betul-betul dilaksanakan selepas tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Emmy Suraya berkata, sektor perhotelan khususnya hotel bajet tidak lagi boleh bergantung kepada pelancong domestik semata-mata kerana ‘mood’ untuk melancong orang tempatan ada pasang surutnya dan bergantung kepada cuti tertentu sahaja.
“Sebelum ini banyak kali sudah tangguh, saya harap 1 Mac ini benar-benar dibuka. Sektor perhotelan tidak boleh bergantung kepada domestik sahaja kerana ia amat terhad dan tidak nampak peningkatan, mereka (pelancong domestik) bercuti mengikut musim.
“Mereka, lebih memilih untuk pergi ke resort peranginan pada cuti sekolah dan cuti pelepasan manakala, hotel-hotel bajet di Kuala Lumpur misalnya kosong tiada pelancong. Jadi mereka harapkan pelancong luar,” katanya. –UTUSAN











