Pelan Antirasuah Nasional dinilai semula - GIACC - Utusan Malaysia

Pelan Antirasuah Nasional dinilai semula – GIACC

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan dinilai keberkesanan pelaksanaannya, terutama selepas laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 diumumkan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, pihaknya sedang mengumpulkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan pelan tersebut.

“Kita hendak bergerak ke hadapan, dalam setahun lagi kita akan memasuki tahun kelima iaitu tempoh penuh pusingan pertama NACP.

“Jadi, kita hendak menilai balik keberkesanan agenda pelan ini, bagaimana kita hendak ke hadapan, sama ada menambah baik agenda-agenda yang telah digariskan sebelum ini atau bagaimana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, NACP 2019-2023 merupakan satu ‘dokumen hidup’ yang diperkenalkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dengan memberi penekanan kepada usaha memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Justeru, mengambil kira pelbagai perkembangan termasuk laporan CPI 2021 mengenai kedudukan Malaysia, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk melihat keperluan menilai pelan tersebut.

“Kita akan mendapatkan pandangan dan input pelbagai pihak bagi memantapkan agenda serta visi NACP,” katanya.

NACP 2019-2023 adalah pelan lima tahun kerajaan yang dilancarkan pada 29 Jan 2019 bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional 2004, dengan menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

Bagaimanapun, Malaysia jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam CPI 2021, berbanding tangga 57 pada 2020 dan tangga 51 pada 2019, manakala skor yang dicatatkan negara turun kepada 48 berbanding 51 pada 2020 dan 53 pada 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.