'Pekasam Cikgu" tawan pasaran Kelantan - Utusan Malaysia

‘Pekasam Cikgu” tawan pasaran Kelantan

MOHD. Jailani Mat Jusoh menunjukkan ikan pekasam yang dihasilkan di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tugas sebagai pendidik tidak menghalang pasangan suami isteri meluangkan masa menceburi bidang penternakan ikan air tawar sebagai sumber pendapatan sampingan.

Selepas menternak lebih 10,000 ekor ikan tilapia dan puyu, mereka meraih pendapatan lumayan dengan menghasilkan ikan pekasam di Kampung Lepan Jaya di sini, sejak enam bulan lalu.

Mohd. Jailani Mat Jusoh, 48, memberitahu Utusan Malaysia, dia bersama isteri, Norzaliza Muktar, 48, kini mampu memproses sehingga 50 kilogram ikan pekasam seminggu.

Menurut Mohd. Jailani, dia pada mulanya membela tilapia dan puyu sebagai hobi untuk mengisi masa lapang apabila sekolah terpaksa ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, idea menghasilkan ikan pekasam timbul selepas dia melihat produk itu agak terhad dan kurang dihasilkan di sekitar Gua Musang.

“Resepi ikan pekasam ini daripada keluarga sendiri dan ia mampu bertahan sehingga dua tahun. Ikan ini dijual pada harga serendah RM4 hingga RM14 sepeket.

“Saya berbangga apabila produk ikan pekasam kami kini bukan sahaja laris di Gua Musang malah menembusi pasaran di seluruh Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Norzaliza berkata, selain diternak sendiri, bekalan ikan untuk dijadikan pekasam turut diperoleh daripada penternak ikan air tawar lain di sekitar kampung itu.

“Cara membuat ikan pekasam amat mudah iaitu ikan perlu dibersihkan terlebih dulu.

“Selepas disiang dan dicuci, ikan akan diperam dengan garam atau asam gelugur bagi memastikannya tidak lembik serta busuk, sebelum dicuci semula dan diperam dengan serbuk beras goreng selama empat malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN