PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tidak mengambil tindakan terhadap video tular memaparkan beberapa kejadian individu dipukul pihak yang didakwa ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya telah mengesan penularan video berdurasi 4 minit 59 saat melalui aplikasi WhatsApp memaparkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, video tersebut turut memaparkan kenyataan bahawa tiada sebarang tindakan diambil pihak polis.
Bagaimanapun, Abd. Jalil memaklumkan, semakan mendapati video tersebut mengandungi rangkuman beberapa kejadian jenayah yang dikenal pasti berlaku di sekitar kawasan Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2020.
“Paparan klip video tersebut mengandungi kenyataan tidak benar terhadap PDRM.
“Ini kerana siasatan telah dijalankan ke atas kejadian-kejadian yang ditularkan dan pelaku berkaitan telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Jalil menegaskan perbuatan menularkan kandungan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam adalah satu kesalahan.
Kata beliau, ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan kesalahan ini,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE










