PBRS minta BN beri lebih banyak kerusi pada PRU-15

PBRS minta BN beri lebih banyak kerusi pada PRU-15

JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meminta Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan pemberian lebih banyak kerusi untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup berkata, PBRS sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang dilihat berpotensi untuk menang.

“Kami merayu agar pembahagian kerusi dilakukan secara adil dan kami akan bekerja keras demi memantapkan bahagian yang kami sudah kenal pasti berpeluang menang.

“Sentimen rakyat yang pro kepada BN menunjukkan semakin ramai penyokong menyertai BN melalui PBRS dan ia satu perkembangan yang baik,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PBRS, hari ini.

Dalam pada itu, Joseph meminta BN untuk muktamadkan pelantikan jawatan penyelaras  kawasan Parlimen bagi memudahkan penyelarasan setiap kawasan parlimen yang disokong oleh PRBS.

“Di samping itu, desakan penyokong akar umbi juga mahu PBRS diberi peranan bersesuaian seiring dengn usaha PBRS memperkukuh kedudukan di Sabah selaku komponen BN.

“PBRS perlu diberi satu atau dua jawatan sebagai senator. Malah, amat mengecewakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik diberi kepada Pas walaupun semua tahu Pas tidak menyumbang kepada usaha menguatkan kedudukan BN di Sabah,” katanya.

Ketika ini, PBRS berjaya mengukuhkan kedudukan di Sabah dengan bilangan keahlian yang mencecah 90,000 orang berbanding kira-kira 63,000 orang sebelum ini. Malah, bahagian parti ini turut meningkat daripada 28 bahagian kepada 45 bahagian yang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Dalam perkembangan lain, Joseph tidak melihat pemberian Kad Warga Asing akan membantu mengurangkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Jelas beliau, kad atau pas sebegitu akan memberi galakan kepada lebih ramai PATI masuk ke Sabah secara haram kerana mereka beranggapan pas itu akan membantu mereka mendapatkan dokumen yang sah untuk tinggal di Sabah.

Tidak mustahil kad itu akan digunakan bagi mendesak kerajaan untuk mengeluarkan dokumen tetap pada masa akan datang.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN