PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan negeri-negeri di pantai timur dijangka berpotensi mengalami hujan berterusan.
Menurut Met Malaysia, perkara itu adalah berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).
“Luruan angin timuran dijangka berterusan sehingga 14 Februari. Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur.
“Amaran Hujan Berterusan (peringkat waspada) dikeluarkan untuk selatan Pahang dan timur Johor berkuat kuasa sehingga 10 Februari.
“Pada masa sama cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir juga dijangka di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang hingga awal malam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Met Malaysia, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan perkembangan maklumat cuaca yang terkini daripada laman rasmi jabatan itu.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE