JERANTUT: Kira-kira 30 penduduk terutama golongan muda dan belia yang sudah berkeluarga mengadakan bantahan aman kerana tidak berpuas hati berhubung pemberian tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Ladang Tembeling Jaya 1 dan 2, di Kampung Kuala Tahan, di sini.
Mereka mendakwa lebih 200 penerima skim itu terdiri daripada penduduk dari luar Kampung Kuala Tahan dan Jerantut, bukannya penduduk tempatan menyebabkan ramai terlepas memiliki skim tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap kumpulan bantahan itu, Mohamad Anas Zainuddin, 34, berkata, sepatutnya 841 penerima dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Tahan menerima STR, tetapi mereka ‘terkejut dan hairan’ kerana selepas senarai nama dikeluarkan, lebih 200 penerimanya bukan penduduk di situ.
“Hal ini menyebabkan sebahagian penduduk di sini berasa kecewa kerana tersisih menerima faedah skim. Apakah keistimewaan orang luar sehingga meragut hak penduduk tempatan terutama belia berkeluarga di sini yang belum mempunyai tanah?
“Orang luar kampung ini malah ada yang tinggal di (luar) daerah menerima faedah skim ini langsung tidak dikenali, bagaimana boleh tersenarai dalam skim ini dan adakah kuota pihak tertentu untuk mereka?” katanya di Kampung Kuala Tahan, dekat sini semalam.
Menurut Mohamad Anas, projek STR itu dibangunkan tanaman sawit dan pemiliknya bakal memperoleh saham hasil pasaran komoditi tersebut antara usaha kerajaan negeri menjana bidang ekonomi serta pendapatan penduduk luar bandar terutama golongan belia yang sudah berkeluarga di Kuala Tahan.
“Generasi kedua di kampung ini berharap kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencari jalan penyelesaian terbaik isu ini demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk tempatan di sini,” ujarnya. – UTUSAN