Op Selamat 17: Polis Negeri Sembilan keluarkan saman RM2.6j - Utusan Malaysia

Op Selamat 17: Polis Negeri Sembilan keluarkan saman RM2.6j

MOHAMAD MAT YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 10,559 saman bernilai RM2.6 juta sepanjang Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina 2022.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, saman itu dikeluarkan dalam tempoh 10 hari bermula 28 Januari lalu sehingga semalam melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

“Saman yang dikeluarkan itu melibatkan enam kesalahan utama dengan memandu melebihi had laju mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,032 kes, tidak patuh lampu isyarat (284), memotong barisan (133), menggunakan alat komunikasi ketika memandu (118), memotong garisan berkembar (50) dan memandu di lorong kecemasan (satu kes).

“Op Selamat ini melibatkan keseluruhan 151 operasi termasuk Op Utama (70), Op Pelbagai (56), Op Bersepadu (sembilan) Op Motosikal (lapan), Op Samseng Jalanan (empat), Op Mabuk (tiga) dan Op Perdagangan (satu kes),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Mohamad, sebanyak 156 tangkapan telah dibuat ke atas individu yang melakukan kesalahan dalam tempoh operasi dengan 132 orang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Jelas beliau, kadar kemalangan maut turut menunjukkan penurunan dalam Op Selamat kali ini dengan satu kes dilaporkan di Kuala Pilah berbanding sembilan kes pada operasi sama tahun lalu.

“Jumlah kemalangan secara keseluruhan pada operasi tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 251 kes (30.7 peratus) dengan 564 kes berbanding 815 kes pada Op Selamat 16.

“Faktor mengekor rapat dilihat menjadi punca utama kemalangan berlaku dengan 151 kes diikuti punca lain tidak perasan kenderaan lain (95), cuai keluar dan masuk simpang jalan (77), terbabas sendiri (60) cuba atau sedang memotong (37), cuai mengundur (33) serta leka atau letih (13),” katanya.

Tambah beliau, pada keseluruhannya jumlah kemalangan mengikut jenis jalan yang direkodkan pada Op Selamat 17 adalah 564 kes dengan jalan bandaran merekodkan jumlah tertinggi dengan 204 kes manakala kenderaan jenis kereta paling banyak terlibat dalam kemalangan dengan 702 kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN