IPOH: Tiga lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Mabuk yang diadakan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini awal pagi tadi.
Lelaki berusia 24, 33 dan 45 tahun itu positif dadah jenis methampethamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Operasi selama empat jam bermula pukul 11 malam yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua JSPT Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, dalam operasi itu, 13 individu diarah menjalani ujian saringan air kencing sebelum tiga daripada mereka disahkan positif dadah.
Katanya, siasatan ke atas tiga lelaki terbabit dijalankan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.
“Sepanjang operasi itu juga, kita telah mengeluarkan 23 saman dengan kesalahan tidak memiliki lesen memandu merekodkan kesalahan tertinggi sebanyak 10 kes.
“Dalam operasi sama, JPJ juga mengeluarkan 32 saman dan lapan notis arah periksa kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Operasi berakhir pukul 3 pagi itu disertai 30 pegawai dan anggota JSPT Perak, JPJ dan AADK. – UTUSAN ONLINE










