KUCHING: Omicron kini telah menggantikan Delta sebagai varian Covid-19 yang merebak secara dominan di negeri ini.
Menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Dr. David Perera, kadar pengesanan 78 peratus Omicron telah ditemukan daripada data pengawasan kes positif yang dijalankan dari 3 hingga 26 Januari tahun ini.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
“Sebanyak 58 sampel berjaya dijujuk mengikut tempoh tersebut.
“Daripada jumlah ini, 45 Omicron dan 13 Delta VoG telah dikesan. Kadar pengesanan 78 peratus menunjukkan bahawa Omicron telah menggantikan Delta sebagai varian dominan yang beredaran di Sarawak,” katanya.
Beliau menambah kes Omicron dikesan dalam sampel yang diambil dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.
Menurut beliau lagi, majoriti adalah daripada BA.1.1 linage tetapi tiga kes BA linage yang lebih berjangkit telah dikesan di Kapit dan kebanyakan kes ini berlaku melalui penularan komuniti.
Memandangkan peningkatan jumlah kes di negara ini, Dr. David yang merupakan ahli Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG), menasihati mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak mereka untuk berbuat demikian dengan segera.
Kajian, katanya, telah menunjukkan bahawa dos menggalak adalah perlu untuk meningkatkan tahap antibodi bagi melawan jangkitan Omicron.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengelak perhimpunan komuniti bagi mengelak penularan lebih lanjut.
ICHM menjejaki varian SARS-CoV-2 yang beredar di negeri ini. -UTUSAN ONLINE










