Nuwhsas ke Putrajaya tuntut hak pekerja pembersih hospital - Utusan Malaysia

Nuwhsas ke Putrajaya tuntut hak pekerja pembersih hospital

AHLI  Nuwhsas berkumpul di Pulau Pinang sebelum memulakan perjalanan mereka ke Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas) melakukan konvoi motosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya untuk membawa masalah sistem pekerjaan kontrak kepada pihak berkaitan. 

Presidennya, Rozah@Raziah Mohd. Hashim mendakwa, sistem tersebut mendatangkan masalah kepada pekerja-pekerja kerana ia membuka ruang kepada majikan menindas kakitangan dan  mencabuli jaminan pekerjaan.

Menurutnya, konvoi itu menggunakan motosikal kerana 80 peratus pekerja pembersih di hospital kerajaan pergi kerja dengan menunggang kenderaan dua roda itu yang menjadi kenderaan utama bagi pekerja pembersih.

“Disebabkan gaji mereka rendah iaitu hanya RM1,200 sebulan dan sistem kontrak yang diperbaharui setiap satu ke dua tahun juga menyebabkan mereka amat sukar untuk dapatkan pinjaman dari bank membeli kenderaan lain seperti kereta atau rumah.

“Menunggang motosikal juga adalah simbolik kepada sistem kontrak betapa mengeksploitasi golomgan pekerja B40 dengan teruk dan mendedahkan keadaan pekerja seperti kami yang merupakan ‘hamba moden’ serta ‘hamba hutang’,” katanya di dalam kenyataan.

Terdahulu, Nuwhsas menyerahkan lima memorandum daripada 2015 hingga 2021 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mereka mengambil tindakan bagi menjaga kebajikan pekerja-pekerja pembersih di hospital-hospital kerajaan namun tiada maklum balas.

Raziah berkata, kempen tu mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu ingin menghapuskan sistem kontrak seterusnya menyerap kembali pekerja kepada kerajaan dan menuntut bayaran elaun Covid-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan serta menghentikan pemerasan kesatuan.

Jelasnya, sebanyak 35 pekerja menyertai kempen tersebut dan memulakan perjalanan mereka dari Pulau Pinang  hari ini dan dijangka tiba di Putrajaya pada Selasa ini.

“Konvoi motosikal dari Pulau Pinang sehingga ke Putrajaya memungut suara hati dan keluhan pekerja-pekerja ini untuk diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Sepanjang perjalanan, wakil kesatuan akan melawat semua hospital dalam perjalanan kami dan kumpul masalah-masalah serta pesanan dari pekerja-pekerja dan serahkan kepada Khairy,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya