NGO dakwa ada bukti salah laku ADUN Tiram - Utusan Malaysia

NGO dakwa ada bukti salah laku ADUN Tiram

K. Murushawaran (empat dari kiri) bersama ahli Gabungan NGO Johor menunjukkan dokumen salah laku dan laporan polis ke atas S. Gopalakrishnan pada sidang akhbar di pejabat mereka di Skudai, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gabungan NGO Johor tampil mendedahkan bukti salah laku yang didakwa dilakukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, S. Gopalakrishnan seperti yang dimuat naik Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini.

Presiden NGO berkenaan, K. Murushwaran memberitahu, pihaknya yang membuat aduan tentang salah laku wakil rakyat daripada PKR berkenaan kepada Syed Saddiq termasuk didakwa memalsukan dokumen dan penyalahgunaan peruntukan yang sepatutnya untuk kesejahteraan rakyat.

“Kami telah menerima banyak aduan bukan sahaja daripada penduduk Tiram, tetapi empat bekas pegawai khasnya berhubung salah laku tersebut yang dilakukan pada 2019. Aduan itu bukan aduan kosong sebaliknya disertakan dengan bukti seperti surat rasmi kerajaan negeri, resit pembayaran dan laporan polis. 

“Mereka yang membuat aduan berkenaan turut membuat akuan sumpah. Kami sudah melaporkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2019 namun tiada tindakan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, Gopalakrishnan menempelak tindakan Syed Saddiq dengan mengatakan tuduhan dibuat Ahli Parlimen Muar itu tidak berasas jika tidak disertakan dengan bukti selain Syed Saddiq turut memohon maaf kerana tersilap membuat tuduhan itu.

Sementara itu, Murushwaran berkata, pihaknya berasa kecewa dengan tindakan Gopalakrishnan kerana seramai 450 ahli NGO berkenaan turun membantu kempennya semasa pilihan raya umum lalu.

“Selepas dilantik, aduan salah laku seperti ini pula yang berlaku menunjukkan beliau tidak melakukan tanggungjawab sebaiknya seperti diamanahkan pengundi.

“Cubaan pihak kami untuk mengadakan pertemuan dengan beliau bagi membincangkan perkara itu juga ditolak, sebaliknya Gopalakrishnan hanya bersetuju untuk bertemu kami setelah dimaklumkan berhubung sidang akhbar ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, NGO tersebut turut berharap PKR tidak akan mencalonkan Gopalakrishnan bagi PRN Johor akan datang kerana tindakan sedemikian hanya akan merosakkan imej parti politik terbabit.

“Jika PKR tetap mencalonkan Gopalakrishnan, kami akan turun berkempen untuk calon yang menentangnya,” tambahnya.

Sementara itu, Gopalakrishnan yang dihubungi menafikan semua dakwaan berkenaan dan akan mengadakan sidang akhbar lain untuk menjawab pertuduhan tersebut.

“Saya sudah maklum akan tuduhan ini sejak 2019 lagi, tetapi setakat ini saya tidak menerima apa-apa panggilan daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu,” katanya ringkas. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN