Nasib operator tapak pelupusan sampah ditentukan minggu depan 

Nasib operator tapak pelupusan sampah ditentukan minggu depan 

CHOW Kon Yeow dalam sidang akhbar berhubung situasi terkini bencana kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Nasib operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini yang terbakar hampir 20 hari bakal ditentukan selepas pembentangan susulan dalam Mesyuarat Exco dibuat selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) akan membentangkan laporan susulan untuk menggariskan langkah-langkah yang dicadangkan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sampah itu.

“Kita akan meneliti prestasi syarikat dalam menguruskan tapak pelupusan ini sejak dilantik pada tahun 2012.

“Isu konsesi dan lain-lain akan tertakluk kepada laporan yang dibentangkan oleh BKT dan PBT untuk Exco melakukan penilaian sekali gus membuat keputusan berkaitan,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, prestasi syarikat konsesi dalam mengurus tapak pelupusan sampah wajar diteliti sebelum sebarang keputusan diambil.

“Mengikut perjanjian, ada banyak perkara yang perlu ditunaikan syarikat konsesi mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Justeru, kita akan lihat dan kaji prestasi mereka sepanjang tempoh lantikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bacaan kepekatan gas di sekitar kawasan tapak pelupusan sampah itu mencatatkan penurunan selepas berlaku hujan beberapa kali.

“Walau bagaimanapun, ia masih belum mencapai tahap yang kita kehendaki bagi membolehkan penduduk kembali ke kediaman masing-masing,” katanya.

Kebakaran tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.40 petang pada 12 Januari lalu membabitkan kawasan terbakar seluas 6.5 hektar.

Setakat ini, pemadaman kebakaran sudah dapat dikawal hampir 100 peratus dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sudah menamatkan operasi pada 31 Januari lalu, namun kerja susulan masih diteruskan termasuk melakukan fire break (sesekat api) menggunakan tanah merah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN