JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak mahu parti itu menjadi parti peribadi miliknya atau menjadi wajah rasmi parti berkenaan di mata rakyat.
Katanya, ia memandangkan bukan beliau seorang yang menggerakkan parti berkenaan sebaliknya lebih ramai individu yang merupakan tulang belakang kepada parti Muda selama ini.
“Apa yang pasti, wajah Muda adalah pasukan di dalam Muda itu sendiri, wajah-wajah seperti Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz dan Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dan ramai lagi.
“Saya hanyalah salah seorang daripada mereka, jadi soal sama ada saya bertanding (dalam Pilihan Raya Negeri Johor) atau tidak, itu soal kedua.
“Saya mengambil itu sebagai tanggungjawab untuk angkat pimpinan Muda agar diberi kepercayaan dan amanah oleh rakyat. Muda tidak boleh jadi parti Syed Saddiq dan Syed Saddiq itu bukanlah Muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Listening Tour anjuran Muda di Taman Eco Cascadia, di sini. Turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad.
Tambah Ahli Parlimen Muar itu, pihaknya juga menafikan kepimpinan Muda sama ada di peringkat pusat mahupun negeri sebagai sombong seperti didakwa segelintir pihak khususnya daripada parti politik lawan.
“Saya juga mengingatkan kepada semua kepimpinan Muda agar jangan sesekali bersikap angkuh dan sombong, walaupun dikritik dan diserang bertubi-tubi kerana dalam politik, kita menanggung amanah daripada rakyat.
“Kritikan jika diambil daripada sudut positif ia boleh menjadikan kita individu yang lebih baik, jangan sesekali hilang pendirian dan prinsip dengan kuasa dan tanggungjawab yang diberi kerana kuasa sebenarnya di tangan rakyat.
“Jika kita dikritik kerana melakukan kesilapan, jangan takut, ego atau berasa angkuh untuk meminta maaf, lebih teruk jangan kita terus mengulangi kesilapan sama,” jelasnya. – UTUSAN