KUALA SELANGOR: Muafakat Nasional (MN) di Selangor tidak terpengaruh dengan tindakan pimpinan di negeri lain seperti Kelantan apabila UMNO memutuskan untuk tidak lagi bersama Pas.
Malah MN di sini terus diperkukuh dengan pelantikan Ketua Kampung atas semangat gabungan kedua-dua parti itu di 400 kampung bawah seliaan Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, walau bagaimanapun pelantikan itu masih dalam perbincangan, namun tindakan itu adalah bukti istiqamah UMNO dan Pas negeri ini.
“Kita ada 400 kuota ketua kampung di bawah Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
“Bagi membuktikan komitmen kerjasama Pas dan UMNO di bawah MN kita berkongsi melantik ketua kampung dari kedua-dua parti tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Urusan Chinta Rich Sdn. Bhd. di Pasir Penambang hari ini.
Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menjelaskan sekali lagi sejarah penubuhan MN di Selangor adalah berbeza berbanding negeri-negeri lain.
“Asas gabungan MN di negeri ini adalah demi agama, bangsa dan tanah air. Kewujudan MN di negeri ini, setelah Pas dan UMNO tewas disebabkan pertandingan tiga penjuru.
“Kerjasama MN di negeri ini akan dipertahankan hingga ada arahan baharu daripada pucuk pimpinan. Walaupun di negeri lain Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tanpa kerjasama dengan Pas,” jelasnya.
Terdahulu, Pas beri kata dua kepada segelintir kepemimpinan UMNO agar tidak sesekali meluaskan PRN sebagaimana di Melaka dan Johor ke negeri-negeri lain.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika UMNO masih berdegil dengan langkah PRN, maka, Pas mempunyai strategi tersendiri untuk mengajar rakan dalam MN itu.