MoU amah Indonesia diputuskan segera dimeterai

MoU amah Indonesia diputuskan segera dimeterai

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kabinet secara rasmi sudah menetapkan supaya memorandum persefahaman (MoU) berhubung Perkhidmat Domestik Indonesia (PDI) ditandatangani secepat mungkin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan berbuat demikian dengan menteri bertanggungjawab terhadap isu buruh di republik itu dalam masa terdekat.

“Mesyuarat jemaah menteri memutuskan MoU PDI ini segera dimeterai oleh saya dan rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan, Ida Fauziyah,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau dipercayai merujuk luahan kekesalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono baru-baru ini yang tidak berpuas hati dengan kelewatan dokumen tersebut dimuktamadkan.

 Malah, pemerintah negara jiran tersebut sudah hilang kepercayaan terhadap komitmen MoU itu kerana pihak Jabatan Imigresen Malaysia cuma terlibat dalam beberapa siri rundingan.

 Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan memang ada perbincangan dengan menteri negara tersebut selama ini. Bahkan, beliau dalam nada teguran meminta Hermono bertanyakan sendiri kepada menteri berkenaan dan bukannya meminta dirinya memaklumkan isi rundingan yang dilakukan itu.

 Difahamkan, kelewatan pemeteraian MoU tersebut disebabkan beberapa tuntutan tambahan daripada pihak Indonesia mengenai masalah kebajikan dan kebimbangan risiko buruh paksa. Ia sepatutnya ditandatangani awal minggu ini di Bali, Indonesia dengan kumpulan pertama projek perintis pengambilan sejumlah 10,000 orang PDI dibawa masuk sebelum sektor lain.

 Mengulas lebih lanjut, Saravanan berkata, perkara berkaitan MoU itu sebenarnya dibincang secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Kabinet dan terkini pada 9 Februari lalu.

 “Saya ingin menegaskan bahawa saya dan YB Hamzah mempunyai matlamat yang sama iaitu akan melindungi serta menjaga nasib kebajikan dan kesejahteraan semua pekerja Indonesia.

 “Ini terutama segala isu membabitkan aspek-aspek berkepentingan seperti soal gaji, cuti dan kebajikan mereka yang berada di dalam negara ini,” tegas beliau melalui kenyataan tersebut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN