PETALING JAYA: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika mengejar pesalah trafik di Plaza Tol Gombak di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi, Muhammad Azizi Azizan yang bertugas di JPJ Kuala Lumpur sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang telah melarikan diri daripada sekatan jalan raya di lorong motosikal Plaza Tol Gombak di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir, berlaku kejar- megejar dalam keadaan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak.
Menurut beliau, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan.
“Mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.
“Saksi kejadian dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Shaifuddin Mohd. Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.- UTUSAN ONLINE










