KOTA BHARU: Konflik yang berlaku antara Pas dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tidak menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Malah kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ‘mood’ yang ada sangat baik dengan peluang untuk PN di Johor lebih cerah berbanding suasana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Pas melihat dari segi ruang kerjasama yang mana kita sentiasa terbuka mengadakan persefahaman politik terutama dengan rakan-rakan yang boleh menerima kaedah untuk kita bersama. Bila UMNO putuskan bergerak solo, kita tiada pilihan tetapi Insya-Allah, mood yang ada sangat baik dan peluang kita lebih baik daripada dalam PRU-14,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air melakukan lawatan kerja di Projek Non- Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Kelantan di Loji Rawatan Air Pasir Tumboh, di sini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PN yang memutuskan bergerak bersama di bawah satu logo membabitkan Pas, Bersatu dan Gerakan bertanding di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Dulu Pas bertanding banyak kerusi kerana kita bersendirian, tetapi kali ini kita akan berunding dengan semua parti dalam PN sebelum putuskan berapa kerusi akan ditandingi setiap parti,” katanya. – UTUSAN