MHO bantu orang asal dapatkan dokumen pengenalan diri

MHO bantu orang asal dapatkan dokumen pengenalan diri

MUSA Hassan (dua kiri) bersama Hishamuddin Hashim (dua kanan), Amirul Salamat (kanan) dan Jerry Jaimeh (kiri) semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mula melakukan program jangkauan luar di empat bandar utama di Sabah bagi mengenal pasti orang asal tidak berdokumen.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka mahu memastikan anak-anak orang asal di Sabah mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah demi membina masa depan yang lebih baik.

MUSA HASSAN

Pada peringkat awal, MHO akan melakukan pengumpulan data di empat daerah itu terlebih dahulu sebelum memperluaskannya ke daerah lain. Empat daerah itu adalah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Menerusi program itu, MHO akan mengumpul semua data-data yang diperlukan termasuk latar belakang setiap orang asal yang layak menerima dokumen pengenalan diri sebelum kelulusan diberi untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri.

“Isu tiada dokumen pengenalan diri membabitkan orang asal ini sudah berlanjutan agak lama tanpa ada penyelesaian. Kebanyakan orang asal tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses kepada agensi tertentu untuk mendaftar dokumen pengenalan diri anak-anak mereka.

“Situasi itu menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar sempena siri jelajah MHO hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, program itu bukan bertujuan memberi dokumen kepada rakyat asing. Malah, mereka akan menyemak latar belakang agar tiada orang asing menyamar sebagai rakyat tempatan hanya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Tambah Musa, program itu akan dilaksana dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Selepas selesai mengumpul data, MHO akan mengemukakan satu usul kepada kerajaan negeri untuk menangani isu orang asal yang tidak berdokumen di Sabah.

Pada masa sama, MHO juga akan melihat masalah dokumentasi membabitkan rakyat asing yang layak diberi dokumen sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sekiranya isu dokumentasi pekerja asing di Sabah dapat diselesaikan, terdapat kekosongan 200,000 pekerjaan di Semenanjung yang boleh diisi oleh pekerja asing yang berada di Sabah.

Cadangan menggunakan pekerja asing daripada Sabah ini sudah dikemukakan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan A/L Murugan. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN