JOHOR BAHRU: MCA menafikan surat yang tular dalam media sosial kononnya senarai kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dokumen yang menggunakan kepala surat MCA dan nama beliau itu berniat jahat untuk mencetuskan pergolakan dalam Barisan Nasional (BN).
Katanya, tidak timbul isu perebutan kerusi membabitkan parti komponen BN itu yang bertegas untuk bertanding di kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Tular mengenai surat palsu ini yang menggunakan kepala surat MCA dan nama saya. Kepada mereka yang berniat jahat melakukan fitnah ini untuk memecah-belahkan BN, hentikanlah. Kami dalam BN sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus parti-parti komponen,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Menurut surat yang tular itu, menyatakan MCA akan meletakkan calon di semua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang pernah ditandingi MCA pada PRU-14 yang lalu. Kandungan surat palsu itu turut memaklumkan MCA akan bertanding di 17 daripada 56 kerusi DUN yang akan ditandingi MCA pada PRN kali ini.
“Walaupun terdapat pertikaian antara MCA dan UMNO di kerusi DUN Pemanis, Senai dan Tangkak, ingin saya tegaskan di sini sebagai Presiden parti MCA tetap dengan pendirian akar umbi untuk meletakkan calon di DUN tersebut. Ini kerana kerusi ini adalah kerusi tradisional MCA sejak dahulu lagi walaupun ada usaha dari pihak UMNO yang inginkan kerusi tersebut,” tulis kandungan surat yang tular itu.
Dalam surat palsu itu juga, turut menamakan kesemua 17 kerusi DUN yang akan ditandingi antaranya Tangkak, Paloh, Senai, Yong Peng, Johor Jaya, Pulai Sebatang, Mengkibol dan Perling. – UTUSAN ONLINE